|
|
SEOUL 28 Julai - Malaysia dan Korea Selatan bersetuju meningkatkan kerjasama dalam membangunkan sektor pendidikan termasuk meningkatkan mutu mata pelajaran teknik dan vokasional serta penggunaan teknologi maklumat (IT) di sekolah.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia berharap dapat memeterai perjanjian persefahaman (MoU) mengenai perkara itu semasa kunjungan Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak ke Kuala Lumpur sebelum akhir tahun ini.
Menurutnya, perkara itu dibincangkan dengan Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Un-Chan dalam kunjungan hormat beliau ke atas pemimpin berkenaan hari ini.
'Korea Selatan mengguna teknologi untuk mengembangkan pelajaran mereka, ini satu bidang yang kita boleh bekerjasama," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin, selain kedua-dua perkara berkenaan, MoU tersebut juga akan mencakupi kerjasama dalam aspek pembangunan kurikulum pendidikan guru serta pembangunan sukan di sekolah.
Katanya, Korea Selatan sudah membangunkan sistem e-Pelajaran iaitu Sistem Maklumat Pendidikan Nasional (NIES) yang boleh dicontohi oleh Malaysia.
"Dalam perbincangan dengan Perdana Menteri Korea Selatan itu, saya juga mengucapkan terima kasih kerana telah membantu Malaysia dalam Dasar Pandang ke Timur.
"Menerusi dasar itu kita menghantar 60 penuntut ke Korea Selatan setiap tahun dan kini hampir 800 penuntut telah mendapat manfaat daripada program itu," jelasnya.
Jelasnya, dalam pertemuan itu juga, Perdana Menteri berkenaan terus menawarkan pemberian biasiswa untuk penuntut Malaysia belajar di Korea Selatan dan ia bukan sahaja untuk program ijazah pertama malah ijazah lanjutan. - Utusan
"Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana tawaran itu dibuat secara terbuka," jelasnya.
Menurutnya, Korea Selatan juga berminat mengadakan kerjasama dalam bidang penghasilan tenaga daripada nuklear namun keputusan Malaysia mengenai perkara itu belum muktamad.
sumber: Utusan Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan