Jumaat, 30 Julai 2010

Guru dinasihat guna tiket secara profesional

KUALA LUMPUR 28 Julai - Golongan guru yang kini mendapat 'tiket' untuk bergiat aktif dalam politik dinasihatkan supaya menggunakannya secara profesional agar tugas mendidik sentiasa menjadi keutamaan mereka.

Langkah itu perlu kerana guru merupakan golongan yang amat berpengaruh dan lebih diyakini dalam masyarakat.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, para guru seharusnya sedar batas-batas yang perlu dipatuhi jika mereka mahu berkecimpung dalam politik.

"Jika mereka berada di dalam kelas, seharusnya ideologi politik yang dipegang ditinggalkan di luar kelas dan fokus pada tugas mendidik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang membenarkan Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik mulai 1 Ogos ini.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, pindaan itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memainkan peranan penting sebagai pemimpin masyarakat dalam sejarah politik negara.

Mohd. Ali bagaimanapun mencadangkan agar Kementerian Pelajaran memantau penyertaan guru-guru yang menyertai politik setiap masa supaya mereka tidak lari daripada menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.

"Jika terdapat bukti adanya guru yang berpolitik di dalam kelas, pindaan ini seharusnya dikaji semula," katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Guru-Guru Bersara Kedah (Cawangan Kulim/Bandar Bharu) Mohd. Khir Hassan berkata, guru mempunyai tugas penting di sekolah untuk mendidik anak bangsa dan perlu bijak menyeimbangkan tugas sebagai pendidik dan berpolitik.

"Tidak salah jika guru aktif dalam politik namun mereka perlu berwaspada agar tugas sebagai guru tidak diabaikan.

"Saya juga dulu pernah bergiat aktif dalam politik namun hanya aktif di peringkat cawangan kerana tidak mahu tugas sebagai guru terjejas," katanya.

Tambahnya, guru-guru yang aktif berpolitik juga perlu bertanggungjawab dan tidak menyebarkan dakyah politik dengan memburukkan imej kerajaan kepada pelajar di sekolah.

"Pelajar percaya dan yakin dengan apa yang dikatakan oleh guru mereka kerana separuh daripada masa para pelajar dihabiskan dengan guru.

"Jangan rosakkan minda pelajar dengan politik yang menyimpang dan memecahbelahkan negara," katanya.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohamed Arsad pula berkata, penyertaan guru dalam politik secara tidak langsung membolehkan mereka menjadi wakil kerajaan mendampingi rakyat.

Menurutnya, pembabitan itu dijangka mengubah senario politik negara terutamanya dalam menentukan hala tuju kemajuan negara.

"Guru merupakan kelompok manusia yang ada di mana-mana sahaja dalam komuniti masyarakat dan sentiasa berkhidmat serta menyumbang bakti secara ikhlas dan terarah untuk tujuan kebaikan.

Sementara itu Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, pengetua dan guru besar sekolah perlu menyelia dan memantau dengan rapi setiap guru supaya mereka tidak berpolitik di dalam kelas.

"Jika wujud, satu tindakan tegas harus diambil sebagai pengajaran kepada guru-guru lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa: Perspektif Pembangunan Inklusif: Melingkungi Kepelbagaian dan Mencipta Masyarakat Yang Sensitif Kecacatan di Kuching hari ini.

Fatimah memberitahu, guru merupakan seseorang yang mempunyai ketokohan dan kepimpinan yang jelas dan merupakan aset kepada parti politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan