Jumaat, 30 Julai 2010

Kesatuan guru Melayu sokong hasrat mansuh UPSR, PMR

MARAN 28 Julai - Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyokong penuh hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohamed Arsad berkata, cadangan itu wajar kerana kedua-dua peperiksaan tersebut tidak lagi relevan dengan dasar pendidikan masa kini.

''Fungsi UPSR dan PMR kurang jelas kerana keputusan peperiksaan saban tahun terus meningkat walaupun mata pelajaran Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris.

''Malah murid yang mendapat D dalam mata pelajaran PMR sudah dikira lulus,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika mengulas persidangan meja bulat membincangkan cadangan memansuhkan peperiksaan tersebut di sini hari ini.

Tambah beliau, penilaian UPSR dan PMR lebih kepada penilaian kognitif iaitu pengujian yang menggunakan pensil dan kertas manakala Penilaian Kemajuan Berasaskan Sekolah (PKBS) yang mungkin menggantikan peperiksaan itu mempunyai kelebihan sendiri.

Mohamed Sabri berkata, pelajar yang dinilai melalui PKBS diuji melalui pemerhatian, amali, lisan dan intelek.

Menurutnya, PKBS mampu mengubah tanggapan ibu bapa dan masyarakat tentang kelebihannya kerana mereka boleh berbincang dengan guru tentang kelemahan pembelajaran anak-anak.

''Keputusan UPSR dan PMR adalah dalam bentuk A, B, C, D dan E tetapi penilaian PKBS lebih lengkap serta mudah difahami ibu bapa dan ia membolehkan guru membantu pelajar menguasai kemahiran,'' katanya.

Dalam pada itu, katanya, KGMMB menyambut baik langkah Kementerian Pelajaran mengembalikan semula sekolah vokasional dalam melahirkan tenaga kerja separuh mahir di negara ini.

"Saya gembira kerana 26 sekolah teknik telah kembali menjadi sekolah vokasional yang secara tidak langsung memberi ruang kepada pelajar kurang berjaya dalam akademik meneruskan pengajian mereka,'' ujarnya.

sumber: http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan